Kepalanya di dongakkan. Matanya liar mencari peta untuk destinasi yang ingin dituju.
“Wangsa maju.. ah, lama nya nak sampai KL Sentral..” keluhnya.
Dia melihat jam tangannya. 8.30 pagi. Hatinya mulai resah. Masakan tidak, dia berjanji untuk bertemu sahabatnya, Najmi di KL Sentral pada pukul 9.00 pagi.
Aduh, nyesal tidur balik lepas subuh! Kan dah lambat bangun.. Keluh hatinya lagi.
LRT semakin sesak dengan keramaian manusia yang berbondong-bondong untuk ke tempat kerja.
Dia semakin kebelakang.
Ya Allah, susah la nak keluar nanti.. bisik hatinya.
Hati semakin resah. Tatkala itu, terbayang wajah Najmi yang muncung bosan kerana menunggu. Najmi, sahabatnya itu memang tidak suka menunggu. Katanya, 5 minit amat berharga. Macam-macam dia boleh buat dalam masa 5 minit yang terbuang.
Konfem, pasti dia bakal dileteri!
“Baba, saya takut…”
Terdengar satu suara si kecil. Dalam keramaian manusia dewasa, dia melihat seorang kanak-kanak lelaki berdiri di tiang. Tangannya kemas memeluk erat kaki ayahnya.
Kesiannya budak ni… hatinya terdetik. Kasihan.
“ Tak apa, baba ada, pegang baba kuat-kuat…” tangan si ayah memegang erat bahu anaknya. Si ayah tersenyum. Anaknya membalas senyuman itu. Tenang kembali wajah si anak. Mungkin senyuman si ayah melegakan hati si anak itu.
Pergh, machonya si ayah..Sweet seyh… hatinya bberbunga tiba-tiba. haha
“ Hero seorang ayah.” Tiba-tiba kata itu terungkap.
Kanak-kanak itu memandangnya. Dia senyum. Kanak-kanak itu juga senyum. Tangannya masih memegang kaki ayahnya.
Lantas dia terfikir,
Kenapa la tiada manusia yang berjiwa halus, yang sudi memberikan kanak-kanak ini tempat duduk. Matanya melilau mencari tempat kosong walaupun dia pasti, dalam keramaian itu, tidak mungkin ada tempat untuk kanak-kanak itu. Bahkan tempat duduk yang disediakan khas untuk OKU (baca : orang kelainan upaya) juga diambil alih oleh OKU (baca : orang kemampuan upaya) juga.
‘’Masjid jamek, masjid jamek.” Suara operator wanita yang menambahkan riuh para penumpang yang ingin keluar.
Masjid jamek? Ok. Ada lagi 2 stesen. Dia mula kepanasan.
MasyaAllah, lagi 5 minit pukul 9.
Badannya berlanggar dengan penumpang-penumpang yang ingin keluar. Rimas. Selesai penumpang keluar, matanya laju mencari kelibat kanak-kanak tadi.
Tiada. Mungkin sudah keluar. Alhamdulillah.
Tiba-tiba dia terfikir,
Kenapa bawa anak kecil naik public transport? Hatinya mula tertanya-tanya kerana kasihan melihat kanak2 terpaksa berhimpit dalam keramaian manusia.
Mungkin si ayah sedang mengajar si anak supaya berani? Supaya belajar hidup susah? Atau supaya melihat dunia luar yang penuh kesibukan?
Oh, banyak sungguh andaian yang keluar. Dia tergelak kecil.
Sibuknya hal orang! Hatinya berbisik seakan menegur.
Lantas dia teringat pada ayahnya. Dia tersenyum….
Teringat pada ayahnya di kampong. Ayah juga begitu. Dulu, ayah akan bawa dia kesawah. Belajar menuai. Kadang-kadang ke kebun, untuk membantunya menoreh getah. Ayahnya juga mengajarnya berbasikal ke sekolah. Jika basikal rosak, ayah akan suruh jalan kaki.
Bila ditanya. Kenapa dia perlu bersusah payah?
Kata ayah, anak lelaki mesti kuat. Anak lelaki mesti berdikari. Anak lelaki tidak boleh bergantung pada orang lain. Anak lelaki harapan keluarga.
Ayah mengajarnya erti sebuah harapan.
Dan tiap kali itulah, pada setiapa malam, ayah akan membawanya ke masjid. Ayah kata, selain menjaga hubungan dengan Allah kita perlu jaga, hubungan sesama manusia. Itu juga penting.
“ Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturahim kaum kerabat.”
[Surah An-Nisa’ 4: 1]
Ayah mengajarnya erti silaturrahmi.
Ayah akan marah bila dia menangis kerana gagal. Ayah kata, jangan biarkan air mata itu membawa hilang sebuah semangat. Ayah akan kata, gagal itu sebuah pelajaran. Pelajaran dalam hidup agar kita mampu mengambil pengjaran disebaliknya.
Ayah mengajarnya erti sebuah semangat tanpa putus asa!
Machonya ayah!
Dan pesanan ayah sewaktu dirinya melangkah ke alam kampus,
“ Jaga solat. Jaga hubungan dengan Allah, in shaa Allah, pasti hubungan sesama manusia juga akan baik. Selama ni, ayah bukan tak mampu untuk beri kau kesenangan..” ayahnya diam sebentar.
“ Cuma ayah nak kau belajar erti kesusahan. Supaya kau faham erti bersyukur. Supaya kau tidak mengeluh di saat kesusahan menimpa mu…” sambung ayah.
Allahu Rabbi. Air matanya menitis. Itu rahsia sebenar ayah. Sebuah tujuan besar ayah supaya menjadi hamparan buat si anak.
Ayah mengajar dirinya agar bersyukur. Agar dirinya belajar erti kesusahan dan tidak bergantung kepada orang lain selain pergantungan kepada Allah.
Ayah juga mengajar supaya dirinya mampu memahami kesukaran dan kesusahan orang lain, membantu mereka yang memerlukan. Bukan memandang mereka dengan penuh kejelikan.
Saat itu baru aku faham. Erti pengorbanan seorang ayah!
Ayah, kau adalah seorang pelindung pada anak-anak.
Dan yang pasti, kau adalah ‘HERO’ buat si anak!
‘’KL Sentral, KL sentral.”
Alhamdulillah sampai. 9.05 pagi. 5 minit lewat.
Dan yang pasti, aku bakal dileteri. Haha..
Terima kasih Allah atas segala nikmatMU.
Alhamdulillah ‘ala kulli hal.